Feb 27, 2010

Kelas Steamed buttercream

Salam dan aloo untuk semua... Lima orang joint kelas steamed buttercream hari ni - Dua orang Zati - Zati Senior - Zatidihati dari Pekan, Pahang n Zati Junior - Nur Izzati, student paling muda. Tengah tunggu SPM. (psssttt...Zati Junior kata SPM keluar 16 Mac ni...errr...betoi kaaa - betoi kot no..hehehhe. Berdebar-debar nak tau result anak sedara paling nakal - Ariff Izuddin...).

O.k tiga lagi pelajar - Fizah, Suriati dan Azimah. Semua kepala gila-gila. Zati Junior jer yang tak brapa brani sebab kakak-kakak senior yang kecoh. Kecoh punya kecoh, terbabas siap keja sampai pukul 6. Patutnya pukul 4. Tapi memandangkan banyak sangat dia orang nak blajar, pukul 6 tepat baru masing-masing start boh kek dalam kotak...(semua nak kena tarik telinga ni...lambat). Tapi tak pa, nasib baik semua dapat menghasilkan kek-kek yang cantik n kemas. Yang tak berapa kemas krimnya plak, begitu hebat menunjukkan kreativiti menutup kelemahan dengan hiasan krim dan bunga....(hehehhe).

So, jom kita layan gambar-gambar sekitar kelas hari ni...


Tengah cuba skill atas kek kecik...

Contoh-contoh boarder yang Azimah buat

                                                                                                             
Zati senior n Fizah tengah pulun buat boarder. Zati Junior tengah `menyetim' buttercream

Fizah tengah pulun letakkan bunga atas kek

 Atas,  kek Azimah. Dia pulun buat bunga banyak-banyak, last-last dia beli bunga fondant kat saya n letak atas kek. Kek bawah yang cantik mulus ni Zati senior punya...


Suriati (kiri) n Fizah ngan hasil masing-masing. Bangga sebab dapat hasilkan kek cantik n kemas

``...tengok, punya la senang nak hias kek guna teknik steamed buttercream ni, sambil tutup mata pun bleh buat tau....'' kata Azimah (hehehhe)


Pelajar paling tekun n tak cakap banyak - Zati Junior. Kek Zati Junior pun cantik n kemas. Errr...yang tingkat paling atas nampak macam ada lekuk tu kannnnn...salah saya. Saya tersentuh ngan jari...Maafkan akak dikkk...akak janji tak buat lagi. Tapi Zati Junior pandai cover line.

Feb 26, 2010

Kek kahwin anak sedara Kak Pah

Salam dan aloo untuk semua.... Hari ni buat kek kawhin 3 tingkat untuk customer tetap saya - Kak Pah. Rasanya ni dah masuk kali ke empat dia order kek hantaran n kek kahwin. Pagi tadi Kak Pah datang ambik kek hantaran.Dia sakit tekak sampai tak dak suara. Kak Pah kata dia sibuk ngan kenduri kahwin anak sedara dia yang sorang ni.

Rupanya Kak Pah ni memegang jawatan tetap sebagai AJK bahagian hantaran dan kek kahwin setiap kali bila ada kenduri kahwin anak-anak sedara.

Saya pun tanya lah  Kak Pah  (dengan doa supaya jawapannya YA...hehehe) : ``Errr... ramai lagi ker anak sedara Kak Pah yang nak kawin...?''. Pastu Kak Pah kata: ``Ramai lagi ni dikkk...sampai tahun depan pun ada... Akak ambik kek kat sini jer nanti...'' hehehhe....alhamdulillah...moga-moga bertambah murah rezeki Kak Pah...aminnnn...

Ok, untuk kek kahwin ni Kak Pah nak tema putih merah macam kek hantaran semalam gak. Saya buat dua tingkat (bahagian bawah) melekat dan satu lagi tingkat atas dipisahkan dengan tiang. Tengah-tengah tu saya boh bunga ngan net bagi nampak gebu. Selain itu dengan cara macam ni, kek tiga tingkat ni akan nampak lebih tinggi.

Untuk hiasan tepi kek, saya paipkan dengan motif bunga kecik-kecik. Idea saya ambik dari motif hiasan untuk kek fondant.

Kita bleh pelbagaikan hiasan sekeliling kek ni menggunakan motif-motif hiasan yang selalu digunakan untuk kek fondant. Walaupun cuma guna piping beg kertas buat sendiri tu, kita boleh hasilkan corak-corak yang akan menampakkan kek tu eksklusif.

Tips-tips menarik dan mudah ni saya akan ajar dalam kelas hias kek kahwin guna teknik steamed buttercream esok. Jangan bimbang. Anda tak perlu ada asas hias kek pun. Saya akan tunjukkan teknik yang betul n senang untuk hias kek supaya nampak eksklusif.


Ni tingkat paling atas


Ni kek tiga tingkat yang dah siap. Rega untuk 3 tingkat ni RM450 (kek chocolate moist/kek butter dengan steamed buttercream). Kalau kek sponge RM380 (3 tingkat)

Dapur Bzee berasap kembali....

Salam dan aloo untuk semua... Dah dekat 2 bulan dapur Bzee tak berasap ...semalam lepas gian. Saya bakar beberapa biji kek untuk kek hantaran n kek kahwin. Customer tetap, Kak Pah order untuk anak sedara dia. Lepas hias kek hantaran (tema colour putih merah), saya buat tiga biji kek untuk anak-anak sedara saya yang akan datang dari Kuching n sorang anak sedara yang nak balik Melbourne.

Anak-anak sedara saya nak kek black forest n kiwi. Mak mentua saya pula request kek chiffon pisang. Sejak saya `cuti ' hari tu, saya tak buat langsung produk-produk bakery favourite dia orang. So, sekarang bila saya dah start balik, masing-masing mula keluarkan senarai makanan yang dia orang teringin.

Sbenarnya 2 jenis kek (Black forest n kiwi) ni adalah antara 3 kek yang anda akan pelajari dalam kelas hands on 3 jenis kek kontinental menggunakan fresh cream (whipping cream) . Satu lagi kek dengan sugar image.

Bagi anda yang biasa menggunakan fresh cream sebagai aising kek, mesti selalu tension sebab tak dapat tekstur krim yang cantik. Krim jadi tak licin, susah nak sapu, cair atau terlalu keras n macam-macam masalah lah.

Dalam kelas ni saya akan ajar cara betul untuk pukul fresh cream dan macam mana nak tentukan tekstur betul sebelum kita sapu atas kek. Selain itu, anda juga akan diajar bagaimana nak dapatkan sapuan yang licin dan kemas serta bagaimana nak letakkan sugar image atas kek. Semua ni anda akan buat sendiri. Saya hanya akan bimbing dan beri petua-petua penting. Pastu, anda buat sendiri.


Yuran: RM150. Anda akan buat sendiri 3 jenis kek tu dan setiap seorang akan bawa balik 3 biji kek  (1/2 kg) yang dibuat tu. Insyallah kelas tu saya akan buat awal bulan Mac. Minggu depan kelas tak dak sebab saya nak temankan husband ke SJMC buat 3rd chemo dia.


Ok, untuk kek hantaran Kak Pah, bahagian tepi kek tu saya ambil idea daripada teknik `extension work' yang digunakan untuk hias kek fondant. Tapi sbenarnya kita boleh guna untuk hias kek steamed buttercream. Tapi kena rajin la sket sebab teknik extension work ni rumit sket.



Kek steamed buttercream tema putih/merah. Hiasan tepi kat bawah tu saya guna teknik `extension work'. (sorry yeaaa...gambar tak clear sebab camera saya cousin pinjam. Ni pakai camera cap parang...)


O.k, ni plak kek black forest, kiwi n kek chiffon pisang yang dibuat atas permintaan sedara mara....hehhehe

Kek black forest



Kek Kiwi


Chiffon pisang

Feb 17, 2010

Kongsi pengalaman dan kelas kek kahwin

Salam dan aloo untuk semua...Dah lebih sebulan saya tak updatekan blog ni. Untuk follower, maaf banyak-banyak. Saya ambil keputusan untuk stop sekejap semua aktiviti-aktiviti   kat Bzee Bakery sebab kesihatan suami. Tak pa...kita kena berkorban untuk orang yang kita sayang. Insyalllah, saya yakin n percaya Allah akan sentiasa murahkan rezeki saya.

Ramai student dan rakan-rakan yang sms/call tanya saya apa sakit suami saya. Untuk yang ambil berat bertanya, saya amat menghargai dan saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih. Ingatan dan doa anda amat saya hargai.

Sebenarnya suami saya telah didiagnose dengan penyakit kanser. Kanser kelenjar/lymphoma canser. Ada ketumbuhan kanser sebesar kepala budak di dalam perut sebelah kiri. Yang mengejutkan kanser tu sangat agresif. Selama ni suami saya selalu mengadu sakit perut dan penah buat CT Scan kat KPJ November 2008. Tapi masa tu doktor tak dapat kesan apa. Sakit perut dia berulang-ulang dan sepanjang tahun lepas dah 3 doktor kami jumpa. Semua kata gastrik. Awal Disember lepas suami saya mula rasa macam ada ketulan keras kat perut. Kami jumpa family doktor - Dr. Jefry n Dr. Shaliza di Poliklinik Jasa, Senawang. Dr. dah tak sedap hati dan terus refer kami ke KPJ untuk buat CT Scan. Memang confirm growth tu adalah kanser.

Mula-mula dapat berita ni rasa gelap dunia. Saya percaya semua orang yang pernah mendapat berita ni akan mengalami perasaan sama macam saya. Kita jadi lemah dan putus semangat. Bagi saya sendiri, masa mula-mula terima berita tu, saya hanya mampu menangis. Tapi syukur Alhamdulillah, suami saya seorang yang sangat kuat dan berfikiran positive. Pada peringkat awal tu, instead of saya yang mententeramkan dia, dia plak yang bagi kata-kata semangat kat saya.

Dia mintak saya kuat untuk bantu dia jadi kuat semangat. Saya tak boleh berterusan sedih n terus menerus mempersoalkan kenapa dia ada kanser. Ini semua dah tertulis dan kita mesti redha dengan ketentuan Allah. Yang penting sekarang kita kena berusaha untuk mengubati penyakit ni. Hanya doa dan usaha yang dapat mengubah takdir Allah.

Setelah berbincang dengan keluarga, suami saya akhirnya bersetuju untuk menjalani rawatan yang menurut doktor sendiri adalah `paling menyakitkan'  - chemotherapy. Suami saya perlu menjalani sekurang-kurangnya enam hingga ke lapan kali rawatan chemotherapy.

Rawatan chemotherapy ni melibatkan proses memasukkan pelbagai jenis ubat yang boleh membunuh dan menghalang kanser daripada merebak. Ada banyak cara. Antaranya ialah melalui drip, makan pil dan injection. Untuk kes suami saya ialah melalui drip. Suami saya kena ke hospital setiap 3 minggu.

Sebenarnya bukan proses chemotherapy tu yang sakit, tapi kesan sampingan lepas ubat-ubat mula bertindak balas dengan badan pesakit. Antaranya ialah badan akan menjadi tersangat-sangat lemah, loya, sakit kepala, pening, muntah, kulit dan kuku akan mula menjadi hitam, kulit kering, gusi berdarah, mulut kering,  tak boleh tidur, tak ada selera makan dan yang hampir 90 peratus pesakit yang menjalani rawatan chemotherapy ialah keguguran rambut. (suami saya dah pun hampir-hampir botak lepas minggu ke tiga rawatan bermula).

Bagaimanapun alhamdulillah lepas dua kali suami saya menjalani rawatan chemotherapy ni, kesan sampingan yang dialami suami saya sehingga kini tak seteruk sebagaimana yang pernah dialami oleh orang lain. Kesan ketara hanyalah keguguran rambut. Kesan lain seperti letih hanyalah pada kadar minima. Memang ada kesan loya, tetapi hanya sekejap. Selera makan hanya sedikit berkurangan pada hari-hari terawal selepas chemo.

Saya yakin, selain semangat suami saya yang kuat melawan penyakit, rawatan dan ubatan alternatif yang suami saya ambil banyak membantu dia mengurangkan kesan sampingan rawatan chemo ni.

Di sini saya nak berkongsi dengan anda semua rawatan-rawatan dan ubatan alternatif yang banyak membantu suami saya menjalani proses rawatan chemotherapy tanpa kesan sampingan yang teruk dan dalam masa yang sama, bersama-sama dengan ubat-buat chemo bertindak menghapuskan kanser yang ada. Anda boleh kongsi dengan sesiapa sahaja yang ada masalah sama.

1. Ubatan herba daripada Hj. Zabir (019 3665693) di Kampung Sasapan Batu Rembau, Branang, Selangor.
Kalau dari Kl ikut jalan lama ke Seremban. Kita akan jumpa pekan Branang, pastu akan nampak sign board Sasapan Batu Rembau. Masuk simpang tu, terus lebih kurang 5 kilometer, ada rumah pagar kuning sebelah kiri.
Ubat Hj. Zabir ni adalah ubat alternatif pertama yang suami saya ambil lepas didiagnose dengan kanser. Masa tu rasa sakit dia teruk sangat. Dua kali inject pain killer tak ada kesan langsung. Lepas makan ubat herba Hj. Zabir ni, alhamdulillah, sakit hilang.

Tempat ni mak sedara suami saya yang rekomenkan. Dia sepatutnya dah kena start hemeodylasis sebab buah pinggang dia dah teruk. Tapi dia tak nak. So, dia cuba makan ubatan herba Hj. Zabir ni. Alhamdulillah dah dekat setahun dia makan ubat ni. Bulan lepas dia gi check, doktor kata dia dah ok. Tak perlu buat hemeodylasis lagi. Alhamdulillah.

Ada seorang lagi sedara suami saya yang juga mengalami penyakit kanser lymphoma pun baik lepas mengamalkan ubat herba Hj. Zabir ni. Dia ni lagi teruk sebab dah stage 4 dan dah pun buat bone marrow transplant. Alhamdulillah sekarang dah o.k.

2. Supplement 4Life 
Suami saya ambil Jus  Riovida dan pil   4Life TF Plus Advanced
Supplement ni direkomenkan oleh kawan-kawan saya dan suami. Saya rasa supplement ni banyak membantu dari segi memberi tenaga dan juga membaiki sel-sel yang dah rosak akibat ubat chemo.

3. Minuman herba daripada Sungai Petani. Call En. Khamarul - 017 416 6396. Kami dapat contact ni lepas dengar kat radio Aznil interview sorang budak umur 4 tahun sembuh kanser lepas minum air pokok herba ni (saya tak ingat nama pokok tu).

4. Rawatan  menggunakan ayat-ayat al-quran daripada Hj. Lokman Abdul Hamid dari Perubatan Syifa-Al Hidayah, di Sungai Pusu, Gombak. Untuk maklumat lanjut anda boleh lawat website - www. syifa-alhidayah.com.
Hj. Lokman ni akan bagi ayat-ayat al-quran tertentu yang perlu diamalkan sendiri oleh pesakit.
Kami hanya berkesempatan p sekali sahaja jumpa Haji Lokman ni sebab lepas tu tak sanggup lagi nak beratur panjang untuk ambil nombor giliran. Pernah lebih 700 orang berkumpul untuk ambil nombor giliran. Tapi tak apa, suami saya terus amalkan ayat-ayat al-quran yang dia dah bagi. Insyallah kami akan cuba untuk dapatkan nombor giliran pada masa-masa akan datang.
(Orang mula berpusu-pusu ke tempat hj lokman bila rancangan perubatan secara al-quran ni disiarkan di Astro Awani (106) - saya tak ingat hari apa)

Ni lah antara usaha-usaha yang saya dan suami buat untuk menghadapi dugaan Allah ni. Alhamdulillah doktor kata kanser tu dah mengecut lebih daripada 20 peratus. Tapi yang penting suami saya tak sakit lagi dan side effect chemo pun tak teruk sangat. Harapan dan doa kami,  kanser suami saya tu akan sembuh sepenuhnya. Insyallah.

Sebenarnya dugaan Allah kepada kami ni banyak hikmahnya. Kami menjadi semakin dekat dengan Allah. Bagi saya sendiri, dugaan ni banyak mengubah cara saya melihat hidup saya secara keseluruhan. Tuhan boleh menduga dengan pelbagai dugaan yang tak pernah kita fikirkan akan terjadi kepada kita selama ini. Dan sesungguhnya dugaan Allah tu boleh datang bila-bila masa.  Selain itu, dugaan ini juga menjadikan kami berdua lebih menghargai antara satu sama lain.

Saya tak akan lupa pengalaman ketika detik orang menghitung masa menyambut tahun baru 2010, saya berada di sebelah katil suami saya di hospital. Melihat dia menahan sakit yang langsung tidak boleh dikurangkan walaupun dengan ubat tahan sakit. Ya... bunyinya macam dramatik, tapi apa yang saya ceritakan ni memang saya alami. Saya memulakan tahun 2010 ni dengan dugaan berat Allah. Walaupun dalam keadaan sedih melihatkan keadaan suami, saya seperti mendapat kekuatan dan semangat  baru untuk menghadapi segala dugaan yang mendatang dengan lebih kuat n tabah. Dan saya juga berazam untuk mengubah diri saya menjadi lebih baik dalam semua aspek - Insyallah.

Ok, memandangkan keadaan dah kembali agak stabil, saya akan memulakan kelas masakan saya semula mulai minggu depan - Sabtu 27 Februari.

Kelas: Hiasan kek kahwin 3 tingkat menggunakan teknik steamed buttercream

Masa: 11 - 4 ptg
Yuran: RM250



Info kelas: KELAS PRAKTIKAL SEPENUHNYA. Pelajari teknik terkini yang mudah menghias kek menggunakan kaedah steamed buttercream - kek nampak seperti fondant - licin dan berkilat. Setiap pelajar akan menerima 3 biji kek sponge untuk dihias. Pelbagai teknik dan hiasan akan diajar termasuk `buat sampai boleh' bunga ros, border-border yang sesuai untuk kek kahwin dan cara memasang tiang pada kek kahwin.

Setiap pelajar akan membawa pulang kek kahwin 3 tingkat.

Peralatan yang perlu dibawa: Apron, turn table, spatula dan kain lap.

(Sila sahkan kehadiran selewat-lewatnya pada Khamis, 25 Februari dengan membayar deposit sebanyak RM130 ke dalam akaun Maybank saya (Zalina Yahaya) - 1122 500 16852


 Saya juga akan mula mengambil tempahan. Dah ada beberapa tempahan yang saya dah ambil untuk hujung bulan ni dan awal Mac.